1 STALKERS
DREAMER ;
FACEBOOK SHOP ASK.FM BLOGSKIN +FOLLOW
'Raya Depan TV' -MyMetro
Posted Aug 16, 2013 // 8:58 PM

Tak payahlah bersungguh-sungguh membeli-belah pakaian dan kelengkapan beraya kerana penghujungnya, semua itu hanya terperap dalam almari kerana langsung tidak digunakan. Mana tidaknya, balik daripada sembahyang raya hinggalah penyudah, si anak muda lebih suka duduk terperap di rumah.
Mak ayah dan adik-adik sibuk menziarahi rumah saudara tapi anak sulung entah ke mana.
Itulah tabiat kebanyakan anak bujang hari ini yang langsung tidak sensitif mengenai pengertian sambutan hari raya. Mereka tidak menikmati dengan sepenuhnya, sebaliknya lebih gemar memilih duduk di rumah.

Alasan? Sudah besar dan malu untuk keluar bersama keluarga lagi.

Gen.Y tidak mahu membuat andaian atau kesimpulannya sendiri. Justeru, kami mendekati Izzwan Shahzerill Huzaifah yang kini berusia 17 tahun bagi mendengar sendiri perspektifnya.

“Bukan tidak mahu beraya, tapi jujurnya memang malas untuk bertemu saudara yang sudah biasa saya jumpa kalau bukan hari raya sekalipun. Bezanya kali ini kita pergi rumah mereka dengan berpakaian baju Melayu, songkok dan menjamu selera.

“Rasanya kalau kecil memang relevan tapi sudah besar panjang, macam kelakar pun ada,” katanya.

“Walaupun saya masih bersekolah dan masih menerima duit raya, tapi kadang-kadang saya rasakan ia tidak sesuai untuk saya mengumpul RM1 atau RM2 daripada saudara-mara setiap kali datang beraya.

“Bukan sombong tapi itu lebih sesuai untuk adik-adik saya yang lebih kecil. Selalunya saya akan lebih selesa kalau berkunjung ke rumah kawan-kawan ataupun majlis rumah terbuka cikgu.

“Itu lebih seronok kerana berjumpa kawan-kawan, bersembang mengenai sekolah dan kemudiannya bergambar, itu lebih menarik berbanding ke rumah saudara dan duduk hingga berjam-jam.

“Mak dan ayah mestilah seronok ke rumah saudara-mara kerana banyak benda mereka boleh sembang. Tapi budak muda macam saya langsung tidak boleh ‘blend’ dengan sembang mereka.

“Itu yang membuatkan saya mati kutu setiap kali beraya. Kalau terpaksa juga, saya selalunya akan lebih senyap, bersalaman dan kemudian makan ataupun duduk di luar rumah saja menunggu mak dan ayah sudah beraya,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.


Malas beraya

Bagaimanapun, jelas Izzwan, ada kalanya dia terpaksa menipu bagi mengelakkan terus dipaksa mak ayah untuk pergi beraya.

“Kereta bukanlah besar untuk sumbat kami sekeluarga. Itu pun antara alasan saya malas nak beraya. Kemudian saya tidak berapa gemar mengenakan baju Melayu kerana kainnya yang panas dan membuatkan saya cepat rimas.

“Lebih baik duduk di rumah menonton TV kerana banyak program dan drama atau filem menarik yang ditayangkan dari pagi sampai ke malam. Sampai panas peti TV saya kerjakan!

“Kalau mak paksa juga, saya akan tipu kononnya ada kawan nak datang rumah ataupun nak tolong jaga rumah. Maklumlah musim perayaan memang banyak pencuri dan kes pecah rumah.

“Itu saja alasan yang ada untuk mengelak daripada pergi beraya,” katanya ketawa.

Lain pula kisahnya dengan M F Atrash yang sudahpun bekerja. Mengakui pernah melalui zaman ‘malas beraya’ ketika masih bersekolah dulu, namun kini katanya, menziarahi rumah saudara-mara adalah satu kemestian setiap kali menjelang hari raya.

“Dulu memanglah sebab masih sekolah dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Pergi beraya pun satu kereta dengan keluarga, jadi kalau bosan tak boleh nak lari. Tapi apabila sudah besar, saya memandu sendiri dan itu lebih mudah untuk bergerak.

“Kiranya kalau bosan di sesetengah rumah itu, saya boleh mencari alasan dengan balik dulu ataupun merayap ke mana-mana. Tidaklah terperangkap dengan agenda mak dan ayah saja.

“Lagipun apabila sudah besar, belajar dan kemudian bekerja di bandar, memang jarang sekali kita duduk berbual atau berjumpa saudara dan sepupu. Jadi bulan raya saja kita berpeluang duduk berkumpul dan bersembang panjang.

“Sepupu yang sebaya dan dulunya teman sepermainan pun ada yang sudah berkahwin dan dapat anak, jadi inilah saat paling istimewa setiap kali beraya, selain duduk berkumpul sekeluarga.

“Soal program TV memang langsung tidak tersenarai lagi dalam rutin sepanjang cuti beraya. Walaupun macam-macam filem dan program menarik, saya langsung tidak tahu waktu tayangannya kerana tidak langsung duduk depan TV.

“Itulah kelakarnya berbanding zaman kecil dulu yang tidak akan berganjak dari depan TV,” katanya.

Kesimpulannya, anak remaja memang selalunya punya agenda sendiri dan jenis yang melawan arus terutamanya apa yang dipesan ibu bapa. Musim beraya bukanlah satu hari yang istimewa, sebaliknya mereka lebih gemar bersendiri dan bertemu kawan-kawan.

Proses seronok beraya adalah ketika zaman kanak-kanak saja dan kemudiannya apabila sudah dewasa. Remaja adalah fasa untuk mencari identiti diri dan rasa bebas maksimum.

Bagaimanapun, jangan sesekali mengabaikan cuti beraya dan saat berkumpul bersama keluarga kerana ia hanya datang sekali setahun.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/10
0 Comments:

Post a Comment

1# Harsh word not allowed
2# Support word , I say THANKS ^^

... Back to the blog?